3 Posisi Pilihan Dalam Pelaburan Emas

Konflik yang sentiasa bermain dalam pemikiran mereka yang terlibat dengan pelaburan emas ialah;

(1) bila waktu terbaik membeli emas?

(2) bila waktu terbaik menjual emas?

(3) apa item terbaik untuk dibeli?

(4) perlu beli / jual sekarang atau tunggu dulu?

(5) kalau jual sekarang, ada tak peluang beli balik emas yang sama pada harga belian pertama dahulu?

Kalau ada konflik begini, ia sebenarnya bukan isu harga emas naik atau turun. Isu sebenarnya ialah kita masih dipersimpangan jalan, antara mengumpul GRAM atau memaksimumkan RM? Konflik begini tak akan selesai selagi kita belum tentukan POSISI sebenar kita dalam pelaburan emas.

Tentukan Posisi Diri Sendiri

Jadi bila terlibat dalam pelaburan emas, kita mesti tentukan posisi sebenar kita. Adakah kita ini (1) penyimpan, (2) pelabur, atau (3) peniaga emas? Atau boleh jadi kita ambil ke semua posisi itu, tetapi kita pecahkan DANA kita kepada 3 posisi tersebut.

—-> PENYIMPAN

Kalau beli emas untuk dijadikan simpanan jangka panjang, maka kita perlu fokus pertambahan GRAM yang dapat kita kumpul. Bila ada sahaja duit lebihan sebagai simpanan jangka panjang, gunakan untuk tambah lagi simpanan emas. Tak kisah harga naik atau turun, yang penting kepingan-kepingan emas kita perlu bertambah. Bila harga emas jatuh, itulah BONUS untuk kita.

Persoalannya, mana nak cari duit untuk tambahkan simpanan emas?

Jawapannya, tak ada keajaiban. Sekeping emas tak boleh beranak jadi dua (2) keping. Kita kena cari duit lain, samada duit gaji atau hasil daripada bisnes. Tak ada istilah memberanakkan emas menggunakan kaedah ar-rahnu (kononnya).

—-> PELABUR

Kalau beli emas tujuannya untuk dijual bila harga naik, maka fokus kita sepatutnya pertambahan RM (duit). Jangan pedulikan berapa gram emas yang kita dapat. Yang penting dapat maksimumkan RM. Emas itu tak penting, ia hanyalah alat untuk memaksimumkan RM.

Katakanlah kita mulakan belian RM10,000 boleh dapat 60 gram emas. Bila harga emas naik menjadi RM11,000 dan mencapai target keuntungan, maka terus jual. JANGAN, JANGAN, DAN JANGAN ada rasa sayang kepada emas. Kalau rasa sayang nak jual, itu akan bermasalah.

Bila harga emas jatuh, mulakan belian baru dengan modal asal RM10,000 itu tadi, tak kira berapa gram yang kita boleh dapat. Mungkin kita hanya boleh dapat 55 gram sahaja untuk pusingan kedua, itu tak kisah sebab kita bukan nak kumpul GRAM, tetapi nak maksimumkan RM. Lebihan RM1,000 pada pusingan pertama itu tadi keluarkan sebagai keuntungan.

Ok, boleh faham setakat ini?

—-> PENIAGA

Bagi sesiapa nak tambah GRAM emas sekaligus memaksimumkan RM, maka posisi terbaik ialah jadi dealer / ejen / peniaga emas. Dealer emas berpeluang besar untuk dapat kedua-duanya sebab seorang dealer emas bukan sahaja berada di posisi pelabur (atau penyimpan), tetapi mereka meletakkan ‘sebelah kaki’ sebagai peniaga. Sambil mengumpul GRAM, mereka menjana RM hasil daripada perniagaan emas.

 

Jadi Penyimpan Dan Pelabur Sekaligus

Kalau tak jadi peniaga emas, boleh tak jadi penyimpan emas sekaligus menjadi pelabur emas?

Jawabnya boleh, syaratnya kita perlu pecahkan dana yang kita ada. Sebagai contohnya, kita ada RM30,000. Mungkin boleh pecahkan RM15,000 untuk beli emas sebagai simpanan, dan lagi RM15,000 sebagai pelaburan. Dana pertama fokusnya untuk menambah GRAM, dan dana kedua untuk memaksimumkan RM dengan strategi “buy low sell high”.

Macam mana nak tahu harga yang dianggap “low” dan harga dianggap “high” bagi tujuan PELABURAN?

Untuk faham tentang harga, itu kena belajar kenal pasti apa yang dipanggil “harga lantai” dan “harga syiling” dalam kelas Analisis Teknikal Harga Emas.   Ilmu ini penting bagi “pelabur”, dan ianya kurang penting bagi sesiapa yang beli emas sekadar untuk jadi “penyimpan”.