Emas dikatakan aset kalis inflasi.
Inflasi maksudnya kuasa beli duit kita makin susut. Kalau inflasi 5%, maksudnya kuasa beli duit susut 5% berbanding tahun sebelumnya.
Kalau simpan duit dalam akaun Tabung Haji dan kita mendapat dividen 5%, maksudnya nombor dalam akaun bertambah tapi hakikatnya kekayaan kita tak bertambah. Kalau kenaikan gaji tak sampai 5%, maksudnya kita lebih miskin dari tahun sebelumnya walaupun `nombor` gaji kita telahpun bertambah.
Kita perlu bayar duit 5% lebih banyak untuk dapatkan barang yang sama berbanding tahun sebelumnya.
Benarkah Emas Kali Inflasi?
Tentang “kalis inflasi” ini, pakar-pakar berbeza pendapat.
Walaupun ada yang berpendapat emas adalah aset yang hanya kalis hiperinflasi, bukan kalis inflasi. Tetapi saya berpegang kepada pendapat yang mengatakan emas memang aset yang kalis inflasi.
Mereka yang berpendapat emas bukan kalis inflasi atas perbandingan pergerakan harga emas dunia berdasarkan wang kertas US Dollar sedangkan inflasi wujud sebab duit kertas tiada nilai sebenar. Nilainya berubah-ubah berdasarkan;
- berapa banyak mata wang itu dikeluarkan / dicetak (money supply)
- jumlah permintaan terhadap sesuatu mata wang
Harga Barang Pasti Naik
Jadi secara asasnya, kenaikan harga barang dalam jangka panjang adalah satu kepastian, bukan disebabkan faktor “permintaan dan penawaran” kepada barangan itu sendiri, tetapi sebab nilai duit kertas yang sentiasa merosot. Duit kertas itu sendiri gagal memenuhi fungsi sebenar duit sebab;
- ia tidak mampu menyimpan nilai
- ia tidak mampu menjadi unit pengukur sebab nilainya berubah-ubah
- ia gagal menjadi medium transaksi yang adil sebab nilainya yang berubah-ubah itu.
Tetapi berbeza dengan emas. Nilai emas dipegang kukuh oleh berat dan ketulenannya sendiri. Simpanlah beribu tahun sekalipun, nilainya kekal.
Nisbah 1 Dinar Seekor Kambing
Sebagai contoh nisbah 1 ekor kambing dan 1 dinar (emas 4.25 gram) boleh dikatakan kekal sejak 1400 tahun dulu sampai sekarang. Dengan emas 1 dinar hari ini, kita masih mampu membeli seekor kambing. Walaupun kambing ada banyak jenis dan saiznya, tapi 1 dinar itu masih munasabah ditukarkan dengan seekor kambing.
Jadi dalam situasi ini, berapa peratuskah kadar inflasi (kenaikan harga kambing) sejak 1400 tahun dulu berbanding emas (kalau emas dijadikan unit pengukur nilai)?
Jawabnya ialah 0%.
Credit posting : Tuan Zulkifli Shafie